Wednesday, 3 December 2014

institut al-quran

INSTITUT AL-QURAN TERENGGANU DINAIK TARAF SEBAGAI KOLEJ UNIVERSITI


KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Institut al-Quran di Padang Midin dekat
sini telahpun mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan untuk dinaik
taraf sebagai Kolej Universiti, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif
Abdul Rahman.
Serentak itu, katanya, satu program baharu akan diperkenalkan untuk pelajar
tingkatan empat iaitu program Yusuf Al Qardhawi yang akan mengambil 30 pelajar
cemerlang sebagai pelajar perintisnya mulai tahun depan.
Beliau berkata program yang menggabungkan bidang sains dan agama ini akan
menjadi platform dalam usaha melahirkan semula ulama tersohor negeri ini.
"Tiga puluh pelajar perintis itu terdiri daripada mereka yang cemerlang
dalam Penilaian Menengah Rendah baru-baru ini dan mestilah menghafaz 30 juzuk
al-Quran sebagai kriteria utamanya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco di sini hari ini.
Penaiktarafan Institut al-Quran kepada Kolej Universiti itu merupakan satu
daripada 18 Aku Janji Barisan Nasional Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13.
-- LAGI
TERENGGANU-INSTITUT 2 (AKHIR) KUALA TERENGGANU
Pada sidang akhbar itu juga, Ahmad Razif menyampaikan hadiah kepada dua
calon berkeperluan khas yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) baru-baru ini.
Mereka ialah Muhammad Syahmi Samsul Muariff dari Sekolah Kebangsaan Seri
Budiman II, Kuala Terengganu, yang juga murid autisme dan Muhammad Fakhruddin
Abd Razak dari SK Sungai Lerek, Setiu, yang mempunyai masalah penglihatan kronik
iaitu rabun jauh dengan penggunaan cermin mata khas.
Ahmad Razif berkata kesungguhan ibu bapa, guru dan kedua-dua murid istimewa
itu perlu dijadikan motivasi untuk pelajar lain dalam memburu impian
masing-masing.
"Kedua-dua murid ini akan terus menerima bantuan daripada kerajaan negeri
mengikut keperluan semasa mereka agar terus cemerlang dan menjadi modal insan
cemerlang di Terengganu pada masa depan," katanya.
Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang.
Ahmad Razif berkata beliau juga akan mengumumkan insentif bagi meraikan
kejayaan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam UPSR lalu dalam pembentangan
Bajet 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin depan.
-- BERNAMA
AEO KAK ROS
12/03/2014 22-35ST

No comments: