Wednesday, 3 December 2014

pertandingan menulis surat

PERTANDINGAN MENULIS SURAT 1MALAYSIA DAPAT SAMBUTAN

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia
bertujuan memupuk minat rakyat terutamanya pelajar dalam seni penulisan,
mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 50,000 karya.
Pertandingan sempena Pameran Setem Remaja Sedunia itu dipertandingkan untuk
kategori A: Sekolah Rendah (darjah satu hingga darjah enam), Kategori B: Sekolah
Menengah (tingkatan satu hingga lima), Kategori C untuk warganegara Malaysia
berumur 18 tahun ke atas dan kategori khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU)
berusia 9 hingga 45 tahun.
Pertandingan yang memasuki tahun kelima itu merupakan anjuran bersama Pos
Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan
sokongan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian
Pendidikan.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha II KKMM Datuk Che Azemi Haron, kategori
baharu iaitu kategori khas untuk OKU juga dibuka tahun ini bagi memberi peluang
kepada semua lapisan masyarakat untuk berkarya.
"Ini merupakan satu daripada hasrat kementerian untuk memupuk kembali minat
pelajar dalam seni penulisan seterusnya menjadi aspirasi utama memandangkan
kepesatan teknologi komunikasi kini seperti Khidmat Pesanan Ringkas, mel
elektronik, media sosial, internet dan sebagainya semakin menguasai dunia,"
katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang
pertandingan tersebut.
-- LAGI
PERTANDINGAN-SURAT 2 KUALA LUMPUR
Pada majlis itu, sejumlah 42 pemenang secara keseluruhan diumumkan mengikut
empat kategori yang dipertandingkan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Iskandar
Mizal Mahmood dan Ketua Pegawai Kawal Selia Industri SKMM Toh Swee Hoe.
Menurut Che Azemi, pertandingan menulis surat bertemakan 'Pelancongan' itu
merupakan projek tahunan Pos Malaysia dan kini memasuki tahun kelima selepas
mula diperkenalkan pada 2010.
"Pertandingan tersebut bermula pada 1 Julai dan tamat pada 31 Ogos lepas
telah mendapat sambutan menggalakkan dan saya dimaklumkan jumlah penyertaan yang
diterima kali ini hampir 50,000 karya.
"Pelbagai idea bernas dan kreatif, praktikal, serta pendapat dan harapan
rakyat Malaysia dapat dinilai dalam karya setiap peserta yang menyertai
pertandingan ini," katanya.
-- LAGI
PERTANDINGAN-SURAT 3 KUALA LUMPUR
Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang termasuk wang tunai,
album setem, sijil, Netbook dan hadiah lain berjumlah lebih RM72,800.
Juara kategori Sekolah Rendah disandang Alya Adriana Adi Afizul, 12, dari
Sekolah Kebangsaan Kampong Bahru, Batu Pahat, Johor, manakala Ahmad Asyraf
Rosli, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara 2, Kulai, Johor
diumumkan sebagai juara kategori Sekolah Menengah.
Kategori Terbuka pula diraih Siti Aishah Ramly, 23, dari Jerantut, Pahang,
dan kategori OKU dimenangi Yak Fang Ling,15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan
Sungai Merah, Sibu, Sarawak.
Sementara itu ketika ditemui, pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori
khas OKU meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana percubaan kali pertama
mereka menulis surat tersebut membuahkan hasil yang tidak dijangka.
Nur Fatihah Abdullah, 17, dari SMK Jengka 21, Bandar Jengka, Pahang yang
memenangi tempat kedua seolah-olah tidak percaya memenangi pertandingan itu
walaupun mempunyai masalah lembam.
-- LAGI
PERTANDINGAN-SURAT 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Saya tak percaya akan menang. Lagipun saya menyertai pertandingan ini
sekadar suka-suka sahaja. Namun begitu cikgu sayalah yang banyak membantu
memberi idea serta memperbaiki mutu penulisan saya," katanya.
Pemenang tempat ketiga kategori sama, Muhammad Zabri Abu Bakar, 28, yang
mengalami kecacatan di kaki kanannya akibat kemalangan pada 2004, berkata dia
hanya mencuba nasib sahaja.
"Saya tergerak hati menyertai pertandingan ini ketika saya terjumpa iklan
mengenainya menerusi Facebook dan ini merupakan kali pertama saya menyertai
pertandingan seperti ini.
"Saya menulis mengenai pelancongan sekitar tempat saya tinggal iaitu di
Kuantan, Pahang," kata pemuda itu yang kini menyambung pelajarannya di peringkat
Sarjana di Universiti Malaysia Pahang dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik.
-- BERNAMA
AFCL MS ROS
12/03/2014 23-26ST

No comments: